New update. Kali ni panjang sikit. Sikit je. Haha.
Minggu ni macam lapang sikit.
Idea pun tercurah banyak sikit.
Semua pun sikitlah.
Mukadimah pun sikit.
Haha.
Enjoy!
Love,
Popi Merah
Siling plaster mewah berukir
kerawang bunga ditenung kosong. Empuk katil pembaringannya langsung gagal
memujuk mata untuk lelap. Bicara Tengku Faridah yang membahasakan dirinya sebagai
Nenda awal tadi membuatkan otaknya ligat berputar. Seingat Dira cuma sekali dia
pernah bertanya pada ibu tentang nenek di sebelah ibunya. Itupun ketika Dira
masih berusia enam tahun. Jawapan ibunya juga sudah lama luput dari ingatan. Cuma
yang dia ingat, wajah keruh ibunya ketika menjawab setiap butir soalannya,
sebab itu Dira sudah tidak bertanya lagi, risau melihat ibunya bersedih. Di
sebelah papa pula memang Dira sedia maklum sudah lama tiada. Selama ini
keluarga yang dia kenal cuma ibu dan papa. Dan bila papa meninggal dunia dua
tahun lepas, dunianya cuma dihiasi dengan kerenah ibu. Cuma ibu. Bila wanita berketurunan
Tengku itu hadir, otaknya mula keliru. Serabut.
“Saya...saya tak
tahu...nak cakap apa, Tengku,”
“Panggil Nenda, sayang. Ini nenek
Fathia, bukan orang lain,”
Bukan orang lain? Habis tu, kenapa ibu tak pernah bercerita
pasal Nenda? Apa yang dah terjadi dulu? Tadi Tengku Faridah sekadar
menceritakan susur galur keturunannya. Mengapa ibu tiada Tengku di pangkal
namanya. Itupun secara ringkas. Musababnya ibu pergi jauh dari rumah agam itu,
tidak pula diulas lanjut oleh Tengku Faridah. Dira mengeluh lagi. Masuk kali
ini, rasanya parunya juga sudah letih mengumpul udara untuk dihembus keluar.
Pening berbaring, Dira lantas bangkit berdiri. Langkahnya
diatur mengelilingi bilik yang dihiasi serba mewah itu. Kalau tidak difikirkan
perasaan nendanya tadi, malas dia mahu bermalam di rumah agam ini. Buat serabut
otak saja. Kata Tengku Faridah, itu kamar tidur ibunya sebelum dia bertegas
mahu keluar dari rumah agam itu. Kenapa ibu mahu keluar, masih menjadi tanda
tanya di celah-celah selirat otaknya.
Bingkai-bingkai gambar yang kemas tersusun di atas almari
berlaci setinggi bahunya dibelek satu persatu. Gambar ibunya seorang. Gambar
ibunya dan Tengku Faridah. Gambar ibunya dan seorang lelaki tua. Dan bingkai
yang terakhir merupakan gambar ibunya bersama tiga orang lelaki segak dan
seorang wanita jelita. Siapa mereka? Bercambah lagi persoalan di dalam fikiran seorang
Fathia Adira Mohd Fikri.
Laci dibuka satu persatu. Bukan niatnya mahu menceroboh
privasi tuan rumah, tapi memandangkan semua barang di dalam bilik itu milik
ibunya, maka tak ada salahnya jika dia mahu mengambil tahu. Laci pertama
dipenuhi dengan album gambar yang sedikit berhabuk, mungkin sudah lama tidak
dibuka. Laci kedua juga turut menempatkan beberapa buah album gambar dan sebuah
buku kulit hitam yang agak usang. Terukir jelas huruf M dan E dengan font tulisan
yang sangat klasik. M, E? Maria Elisa? Takkan diari ibu? Belum sempat tangannya
mahu mencapai, terdengar ketukan di pintu bilik. Luruh jantungnya. Laci segera
ditutup. Nanti apa pula tanggapan Tengku Faridah terhadapnya. Baru mengaku cucu
dah pandai-pandai nak menyelongkar barang orang.
“Ya?”
ujar Dira elok pintu dibuka. Pembantu rumah yang bernama Siti petang tadi dah
terjegat menatang segelas susu dan sejag air masak di dalam dulang.
“Tengku Faridah suruh saya hantarkan susu pada Cik
Fathia. Cik Fathia perlukan apa-apa lagi? Saya boleh ambilkan,” ujar wanita
separuh umur itu ramah. Dira ikut tersenyum. Serba-salah pula dengan layanan mewah
yang diberikan padanya.
“Eh...tak apalah Kak Siti. Kalau Dir...err...Fathia
perlukan apa-apa nanti, pandailah Fathia cari sendiri. Susahkan Kak Siti je
malam-malam ni,” pantas pintu direnggangkan dan tangan mencapai dulang berisi
susu dan jag air kosong itu. Kemudian Dira mula menapak ke meja tepi katil dan
meletakkan dulang di atasnya. Kak Siti ikut membuntuti.
“Cik Fathia ni baik, saling tak tumpah macam ibu Cik
Fathia dulu. Dalam ramai-ramai anak Tengku Faridah, akak paling rapat dengan
Cik...eh...Puan Lisa dulu. Puan Lisa memang peramah dengan semua pekerja.
Pendek kata, memang disayangi ramailah,” ramah Kak Siti membuka cerita. Baru
ada peluang bertemu muka dengan anak
majikan kesayangannya. Persis seperti ibunya, itulah tanggapan pertama
Kak Siti bila bertentang mata dengan anak gadis itu.
“Kak Siti dah kerja lama ya dekat sini? Tapi nampak macam
muda lagi,” mengekek Kak Siti ketawa menyambut kata-kata Dira. Muda?
Haih...pandai ambil hati sungguh budak bertuah ni.
“Muda apanya, nak masuk 5-series dah ni. Puan Lisa tu, muda
sikit pada akak. Eh...patutnya Cik Fathia panggil Mak Siti la dekat akak ni.
Macam muda sangat je panggil kakak,” Dira ketawa kecil.
“Mana ada tua. Baya ibu lah. Ibu Fathia muda lagi tau.
Lagi satu, panggil Fathia je dahlah. Cik Fathia tu panjang sangat, penat nak
tunggu habis satu ayat,” Dira buat muka comel. Makin lebar senyuman Kak Siti.
“Pandainya budak ni bergurau. Akak dah kerja sini lama
dah. Memang sejak dari kecil lagi akak duduk sini. Mak akak pun dulu kerja sini
jugak. Orang susah. Tengku pun dah banyak berjasa pada kami. Bagi tempat
berteduh. Makan pakai. Tak sampai hati akak nak cari makan dekat tempat lain.
Lagipun ada si Minah tu, ringan sikitlah kerja akak, tak adalah penat sangat
macam dulu, masa anak-cucu Tengku Faridah tu duduk sini,” terang Kak Siti
panjang lebar.
“Sekarang ni, mereka tak tinggal sini dah ke kak?” Dira
mula mengorek cerita. Hairan juga melihat rumah
agam sebesar ini sunyi tanpa ramai penghuni.
“Tak dah. Masing-masing ada kehidupan sendiri. Lagipun, sejak-sejak
Puan Lisa keluar, rumah ni dah tak ceria macam dulu. Tengku Faridah pun kerja
naik angin je memanjang. Ni akak tengok Fathia datang ni, ceria sikit muka
Tengku. Kalau tak, serius je. Anak-anak Tengku kebanyakannya menetap di luar
negara. Yang ada pun, cucu-cucu dia yang duduk dekat-dekat. Tapi, tu lah. Balik
pun sekali-sekala. Yang duduk sini pun Tengku Adib jelah, tu pun kadang-kadang
dia outstation, macam malam ni. Tinggallah Tengku sorang-sorang dalam rumah ni.
Kesian Tengku,” Dira tersengih geli hati melihatkan ekspresi muka pembantu
rumah nendanya itu. Cakap gaya nenda tu anak kecil yang selalu ditinggalkan
pulak.
“Okeylah, Fathia. Akak tengok kamu ni macam letih je.
Tidur awal ya. Nanti kalau ada apa-apa, tekan je telefon tu, nombor 9, terus ke
bilik akak. Nombor 1 bilik Tengku Faridah. Selamat malam ya,” Kak Siti mula
menyusun langkah mahu keluar. Pantas Dira memintas dan menarik tangannya.
Disalam dan dicium penuh hormat.
“Selamat malam Kak Siti. Assalamualaikum,” Kak Siti
tersenyum kecil.
“Wa’alaikumussalam,”
***
“Good morning, Kak Siti!” tubuh gempal itu dicuit
perlahan.
“Eh...morning, afternoon! Night! Eh...bukan!” hampir
terpelanting sudip di tangan. Kak Siti mengurut dada, terkejut. “Bertuah punya
budak. Mana salamnya Fathia sayang oi,” berjela panjang namanya diseru. Dira
dah mengekek ketawa. Sengaja pagi itu seawal subuh dia sudah siap-siap mandi
dan berkemas. Tepat pukul 6.55 pagi dia sudah terpacak di depan pintu bilik.
Lima minit berpusing melilau mencari jalan ke dapur baru terjumpa. Itupun sebab
bau nasi goreng kampung Kak Siti yang sungguh menggoda perutnya. Hatinya dari
malam tadi sudah terasa kurang enak. Risau memikirkan ibunya di hospital. Kalau
tidak memang setiap malam dia akan menjenguk ibunya.
“Sorry, sorry. Assalamualaikum, Kak Siti!” dengan sisa
ketawa Dira memberi salam. Entah kenapa, dia terasa senang dengan pembantu
rumah nendanya itu. Mungkin sebab umurnya yang lebih kurang sebaya ibu. Haih,
teringat lagi ibu di hospital. Dira mahu bersegera ke sana. Hatinya semakin
tidak enak.
“Wa’alaikumussalam. Awalnya Fathia bangun. Pergilah
tengok tv dulu. Nanti dah siap akak panggil. Lagi sikit je ni. Fathia nak kopi
ke teh? Jus dengan susu pun ada ni,” Kak Siti kembali sibuk menggaul nasi
goreng kampungnya di dalam kuali. Minah pula diam memerhati sambil mengacau teh
di dalam teko. Segan, mungkin.
“Taknaklah. Bukan ada cerita best pun. Tolong Kak Siti
lagi seronok. Ni telur ni akak nak dadarkan ke goreng telur mata je?” bakul
berisi telur di tepi kaunter dicapai dan lima biji telur di dalamnya dicuci
bersih. Nanti tak pasal-pasal termasuk ‘baja pokok’ pula dalam makanan.
“Eh, janganlah macam tu pulak. Kerja akak tu. Fathia
pergi duduk sana,” Kak Siti cuba mencapai bakul kecil berisi telur dari Fathia
tapi segera dibawa lari jauh.
“Alaa...Fathia bukan nak curi kerja Kak Siti. Fathia nak
tolong je. Jangan risau, Fathia tak mintak share gaji pun,” meledak tawa Kak
Siti dek jenaka spontan si Dira. Ke situ pulak perginya.
“Aduilaa...ada je jawapan budak ni. Memang sebijik macam
perangai Puan Lisa dulu,” elok nama ibunya terbit dari bibir Kak Siti, tawar
sedikit senyuman di bibir Dira. “Ni dah kenapa? Muram pulak. Tadi ceria bukan
main,” api dapur ditutup. Kak Siti mampir pula ke rak mahu mencari pinggan besar,
untuk diisi dengan nasi goreng kampungnya.
“Fathia teringat ibu. Sepatutnya Fathia pergi jenguk ibu
malam semalam, tapi sebab bermalam dekat rumah Nenda, tak dapat spend masa
dengan ibu,” luah Dira perlahan. Nafasnya berat dihembus keluar. Terasa ada
tangan yang lembut menyentuh bahu.
“Puan Lisa tahu, Fathia datang sini?” soal Kak Siti
ragu-ragu. Khuatir jika dia dibilang penyibuk. Gelengan kecil dari Dira
membuahkan senyum tawar di bibir Kak Siti.
“Fathia cakap dekat ibu ada study group dekat rumah
kawan. Tu yang rasa tak sedap hati dari semalam. Rasa bersalah sebab tipu ibu.
Tapi Fathia takut kalau bagitahu ibu, nanti ibu risau,” tangan yang menyentuh
bahu terasa lembut menepuk. Dira menala pandang ke arah Kak Siti.
“Boleh Kak Siti tahu, Puan Lisa sakit apa? Tengku ada
cakap yang Puan Lisa tengah sakit, tapi tak cakap pulak sakit apa,” Dira telan
liur. Terasa berat pula mahu mengeluarkan suara. Memang selama ini pun dia cuba
sekeras hati menafikan sakit ibunya. Sebab dia tahu, sakit ibu memang susah nak
sembuh. Walau dibawa ke doktor pakar ceruk mana sekalipun.
“Ibu...ada brain tumor. Masa arwah papa ada dulu dah
operate buang dah. Cuma lepas tu ada buat kimo dua, tiga kali as rawatan
susulan, tapi tiba-tiba, macam mana entah, ada balik. Tu yang makin teruk tu,”
Dira cuba menerangkan seringkas mungkin. Entah faham, entahkan tidak Kak Siti
ni. Sudahnya Kak Siti sekadar tersenyum sambil menggosok lembut bahunya.
“InshaAllah, minta pada Allah, Fathia. Ujian ni, Allah
yang turunkan dan Allah jugalah yang akan bagi jalan penyelesaiannya, kalau
kita minta pada Dia. Jangan penat meminta, sebab Allah tak pernah lokek nak
memberi. Sabar ya, sayang,” Dira mengangguk lemah. Sabar. Selalu sangat
perkataan itu meniti dicuping telinganya akhir-akhir ini. Dia sendiri sudah
letih mahu mencari tampal tembok kesabarannya. Tapi ibu masih begitu. Masih
terbaring lemah di katil. Masih menelan ubat menahan sakit. Sampai bila ibu nak
tanggung sakit tu? Sampai bila dia nak tengok ibu menderita?
“Fathia,” lembut suara Nenda yang tiba-tiba menyapa,
mematikan momen melankolik itu. Fathia tersenyum mesra. Meski terasa kaku, tapi
dicuba sedaya mungkin.
“Ya, Teng...err...Nenda,” masih berat panggilan itu di
bibirnya. Dira terperasan riak Tengku Faridah yang sedikit suam mendengarkan
ketelanjurannya. Senyuman cuba dipekatkan kemanisannya, mahu mengambil hati
nenda kembali.
“Risau Nenda cari Fathia dia bilik tak jumpa. Ingatkan
dah balik tak beritahu pada Nenda,” mesra tubuh cucunya dirangkul kemas. “Jom,
teman Nenda breakfast di depan. Siti, cepat sikit ya. Kesian cucu saya ni dah
lapar,” dengan ketawa kecil, Tengku Faridah mengeluarkan arahan pada Kak Siti.
Pembantu rumahnya sekadar mengangguk dengan sengihan lebar. “Jom,” tubuh Dira
ditarik melangkah keluar dari dapur. Dira sekadar mengikut. Terbantut niatnya
mahu membantu Kak Siti.
“Lepas breakfast, kita pergi melawat ibu Fathia di
hospital, ya sayang? Nenda rindu sangat nak jumpa dia,” Dira sekadar membalas
dengan senyuman tawar. Persoalan yang bermain ligat di dalam kepalanya sejak
semalam meminta segera dilontar keluar. Tapi lidah teragak-agak mahu
menuturkan. Bimbang Tengku Faridah berkecil hati.
“Is
there anything you want to ask, darling?” soal Tengku Faridah, hairan.
Ajakannya dibalas dengan respon yang agak hambar dari si cucu.
“Huh?
Err...umm...kenapa...kenapa Nenda tak cari ibu, kalau betul Nenda rindu dia,”
terkeluar juga soalan itu. Riak keruh di wajah Tengku Faridah mengundang gusar
di hati Dira. Risau sekiranya kata-kata yang terlafaz sudah mengguris hati tua
itu. Sedangkan dia cuma mahu tahu musababnya. Lama Tengku Faridah mendiamkan
diri. Teh yang sudah siap terhidang juga sekadar dipandang kosong.
“Nenda...Nenda
taknak ganggu kebahagiaan ibu Fathia, sayang. Because I know, I’m not part of
it anymore,” dan dentingan sudu berlaga pinggan mula kedengaran. Dira juga
sudah kekok mahu bersuara. Jelas-jelas nendanya seperti malas mahu mengingati
perkara yang sudah lepas.
Getaran
yang dirasakan pada poket jeans yang dipakai menggangu suapan Dira. Pantas Samsung
Y berwarna kuning dikeluarkan. Hospital. Degup jantung terasa berubah rentak.
“Helo,
Cik Fathia Adira?”
“Yes?”
“Emak
cik dalam keadaan tenat. Boleh ke hospital sekarang?”
“Saya datang!”
No comments:
Post a Comment